Pemetaan Otak dan Roh serta Beberapa Rahsianya (Penerbit USM)
Author | : Zamzuri Idris |
Publisher | : Penerbit USM |
Total Pages | : 56 |
Release | : |
Genre | : |
ISBN | : 9674612149 |
Otak manusia berada di tempat yang paling atas dan ditutupi dengan lapisan-lapisan kulit, tulang, dura, araknoid dan pia. Terdapat lubang tertentu pada tulang untuk membenarkan sambungan antara otak dengan saraf tunjang, saraf dan salur darah. Otak juga dikelilingi oleh cecair yang dinamakan cecair otak. Dengan adanya lapisan-lapisan dan cecair tersebut, maka otak dilihat sebagai organ yang istimewa dan mesti dilindungi dari perkara luaran. Kajian menunjukkan kandungan otak adalah 70% cecair dan 30% pepejal; 60% pepejal otak terdiri daripada lemak. Oleh yang demikian, walaupun cecair otak adalah sedikit, apungan tetap ada di dalam tengkorak otak. Apabila diteliti, posisi otak juga membengkok atau sujud di bahagian tengah otak. Posisi ini dikenali sebagai posisi mikrograviti. Kurangnya kesan graviti disebabkan oleh apungan otak yang mematuhi prinsip Archimedes menyebabkan otak berada dalam posisi tersebut. Apungan ini nampaknya sudah sedia ada semasa proses pembentukan otak atau janin lagi. Seawal proses tersebut, cecair di dalam rahim ibu sudahpun wujud dan memberi kesan apungan kepada sel-sel asas yang berbentuk tiub. Oleh itu, tiub ini juga berada dalam posisi sujud atau posisi mikrograviti. Kajian ke atas proses pembentukan otak dan janin menunjukkan bahawa anatomi otak yang berada bersebelahan dengan ruang cecair otak merupakan kawasan yang penting dan berkait rapat dengan asalan gelombang otak. Kawasan tersebut terdiri daripada a. hipotalamus b. talamus c. kawasan pangkal otak retikular klasik d. otak depan basal atau kawasan septum e. kawasan pineal-pituitari f. hipokampus g. amigdala h. kawasan limbik yang lain (forniks, habenular dan lain-lain) Apabila penelitian dibuat, selain daripada menjanakan gelombang otak, kawasan ini juga terlibat dengan pelbagai fungsi jasad dan mempunyai kaitan dengan koma serta ingatan. Oleh yang demikian, nampaknya, kawasan ini mempunyai sekurang-kurangnya satu ‘kawasan kecil’ (nod) yang membentuk pelbagai jaringan fungsi otak dan jasad. Oleh itu, kawasan ini dilihat sebagai kawasan yang teramat penting. Apabila ia tercedera, seseorang itu akan mengalami masalah hilang ingatan atau hilang kesedaran. Kedua-dua perkara ini adalah berkaitan dengan mengingat atau berzikir dan juga bersolat. Oleh itu, kawasan ini yang dikenali sebagai sistem limbik besar berkemungkinan besar ada kaitan dengan ‘pusat roh’ bagi jasad manusia. Perkara ini sudahpun dibahaskan semenjak dahulu lagi; Plato dan Leonardo da Vinci mengaitkannya dengan kawasan sistem limbik besar, manakala, Aristotle mengaitkannya dengan jantung. Istilah ‘pusat roh’ di sini dan seperti yang dibahaskan sebelum ini lebih merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan ‘hidup dan mati’. Apabila kawasan sistem limbik besar diteliti, ia juga merangkumi: a. fungsi jasad (nod dalam jaringan otak) b. koma c. ingatan d. asalan gelombang otak yang berkait dengan minda [kaitannya mungkin seperti ini: jasad/otak-minda (gelombang otak)-qalbu/hati-roh atau jasad-minda-roh atau jasad-gelombang otak-roh; gelombang otak atau minda adalah manifestasi tidak langsung untuk roh] e. berada dalam posisi sujud atau mikrograviti f. anti-graviti (tiada masa dan dimensi, seperti elemen roh) g. pusat otak (kawasan intersepsi garisan-garisan infiniti) h. berkait dengan hidup dan mati Senarai di atas merangkumi secara am aspek roh atau pemetaan roh. Pemetaan fungsi otak pula boleh dibuat dengan menggunakan teknik-teknik seperti magnetoencephalography, electroencephalography, functional magnetic resonance imaging, transcranial magnetic stimulation, electrocorticography, diffusion tensor, dan pembedahan otak secara sedar dan stimulasi terus otak. Pemetaan otak ini membolehkan doktor atau pakar saraf mengenal pasti kawasan otak yang penting, contohnya seperti kawasan otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, deria rasa, pendengaran, penglihatan dan fungsi kognitif seperti konsentrasi dan ingatan. Dengan yang demikian, pembedahan otak atau saraf dapat dilakukan dengan lebih selamat. Selain daripada itu, data-data yang diperolehi dapat digunakan untuk kajian yang lebih mendalam mengenai otak dan saraf, dan sebagai simpanan khas pemetaan otak manusia untuk sesebuah negara.